15,145,111 views @YOUTUBE AND KEEP COUNTING. UPDATED 3 MARCH 2021 AND 78K SUBSCRIBERS THANKS FOR WATCHING

Ibarat bermain "Teka teki Jigsaw" - Ada apa dengan Ngektsai?

Surat kepada si Ngektsai.





Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) adalah antara catatan peristiwa yang akan tersimpan dalam lipatan sejarah negara selamanya. Tiada siapa menjangka kita semua akan terkurung di dalam rumah sendiri. Bebas tetapi tidak lepas.

Pelbagai cara dan ikhtiar dilakukan bagi mengisi ruang dan masa agar Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) terisi dengan perkara yang berfaedah . Aku juga berusaha sebaiknya untuk mempastikan dapat melalui situasi yang disebabkan oleh wabak Covid 19 yang melanda negara tercinta ini dengan sebaiknya.

Pada suatu hari, aku menonton Live Sembang 3 X 5 @Dr Rem yang berkisar tentang Klimatologi, Influencer & Sabah. Dr Rem ataupun nama sebenarnya Prof Madya Dr Ramzah Bin Dambul merupakan Timbalan Naib Canselor di Universiti Malaysia Sabah. Beliau menyatakan terdapat beberapa influencer yang beliau suka tonton di YouTube. Nama NgekTsai Army adalah pilihan pertama yang disebut oleh beliau. Bermula daripada tontonan Live itulah aku mula mengetahui tentang kewujudan NgekTsai Army. 

Setelah selesai menonton Live tersebut, aku terus membuat carian NgekTsai Army di YouTube. Aku menonton video-video yang terdapat di sana. Aku ketawa sendiri tatkala menonton video-video tersebut. Benarlah kata orang "Tak Kenal Maka Tak Cinta". Video-video ini menggunakan dialek Melayu Sarawak dalam penyampaiannya. Aku juga mendapati beberapa orang sahabatku telah mengikuti NgekTsai Army lebih awal berbanding diriku.

Bagai ada satu tarikan luar biasa mendorong aku untuk melihat video-video NgekTsai Army. Keterujaan untuk melihat video-video tersebut menjadikanku penonton setia kepada videonya. Pada Hari Guru yang lalu, aku terkejut mendapat penghargaan sebagai Top Fan NgekTsai Army. Penghargaan itu mewarnai Sambutan Hari Guru yang kusambut pada tahun 2020 ini.

Setelah hampir dua bulan aku menonton video NgekTsai Army tanpa jemu, aku dapati video yang dihasilkan oleh NgekTsai banyak memberi kritikan sosial. NgekTsai juga mengajak masyarakat berfikir dan menaakul sesuatu isu yang diketengahkan di dalam video-videonya.

Selain itu, NgekTsai juga berusaha untuk mendidik masyarakat untuk menyebarkan aura positif. Beliau juga cuba menanamkan sikap hormat menghormati dan meraikan perbezaan pendapat adalah penting dalam kehidupan.

Meskipun pada awalnya aku mengalami kekangan dan kesukaran untuk memahami video yang menggunakan dialek Melayu Sarawak ini, ia bukanlah satu halangan untuk aku menikmati video yang NgekTsai lakonkan dengan sebaiknya. Ibarat kata pepatah , "Alah Bisa Tegal Biasa". Sarikata yang disediakan dalam video banyak membantuku untuk memahami isi kandungan video yang kutonton.


Aku juga membaca kesemua "caption" yang ditulis oleh NgekTsai untuk menambah baik pemahaman berkaitan setiap video. Adakalanya aku mengagak-agak sahaja makna dialek tersebut berdasarkan ayat yang kubaca. Sekiranya aku tidak faham makna satu-satu perkataan yang disampaikan dalam video A , berkemungkinan aku akan menjumpai makna perkataan tersebut di dalam video B samaada pada "caption" ataupun sarikata yang disediakan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Selain itu, aku juga membaca komen yang dititipkan oleh para pelayar pada video untuk lebih memahami apa yang disampaikan. Membaca komen dalam dialek Melayu Sarawak ibarat bermain  "Teka-teki Jigsaw". Aku tersenyum sendiri melihat kegigihan diri untuk memahami dialek Melayu Sarawak ini.

Aku tidak menjangka, sejak menonton video NgekTsai Army pada setiap hari membuatku ingin mengetahui tentang dialek Melayu Sarawak dengan lebih mendalam. Aku sukakan variasi dialek yang ada di Malaysia. Memahami dialek adalah satu cabaran yang menarik dalam kehidupan . Dialek perlu dituturkan untuk tahap penguasaan yang lebih berkesan.

" Bahasa Jiwa Bangsa "
" Bahasa Busana Bangsa " 
" Berbunyi Bahasa Diketahui Bangsa ".

Namun bagi dialek, apabila penutur natif sesebuah dialek itu berbicara pasti dapat dikesan asal usul negeri kelahirannya.

Inilah antara hikmah terbaik sepanjang aku menjalani Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) pada tahun 2020 ini. Aku seolah-olah menghadiri Kursus Dialek Melayu Sarawak dari rumah. Aku bukan sahaja bekerja dari rumah tetapi dalam waktu yang sama mendapat ilmu berkaian dialek Melayu Sarawak melalui video yang kutonton.


Aku rasa, aku telah berjaya menonton hampir keseluruhan video NgekTsai Army yang dimuat naik di YouTube NgektsaiArmy Official, instagram, blogspot dan NgekTsaiFanClub. Tontonan tersebut meliputi video pendek berdurasi 16 saat sehinggalah video yang berdurasi hampir 20 minit. Bloopers yang dimuat naik juga kutonton bagi mengisi ruang waktu ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) ini dilaksanakan.

Aku juga berasa sangat kagum dengan NgekTsai yang dapat menghidupkan setiap karektor dengan jayanya. Bukan mudah untuk membezakan suara bagi setiap karektor yang dilakonkan. Namun ia bukan perkara mustahil bagi NgekTsai.  Setiap karektor mampu berdiri sendiri dan mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Sejujurnya aku melihat NgekTsai adalah seorang yang peka dengan isu semasa. Intipati di dalam setiap video yang dihasilkan adalah selari dengan isu semasa. Mengulas isu terkini yang dijelmakan dalam bentuk video memberi nilai tambah yang tersendiri buat Ngek Tsai . Isu diulas tanpa menyentuh isu sensitiviti adalah patut dipuji.

Selanjutnya, aku juga melihat NgekTsai adalah seorang influencer yang berbangga menggunakan dialek Melayu Sarawak dalam video yang dihasilkannya. Jatidiri yang teguh sebagai anak Sarawak menjadikan NgekTsai berada dalam kelasnya yang tersendiri. Teruskan usaha untuk memartabatkan dialek Melayu Sarawak.

Menjadi berbeza itu adalah keunikan yang tersendiri. Ia menjadi asas kepada kekuatan yang menjadi kenangan abadi dan tidak mudah dilupakan sekiranya NgekTsai mengundur diri daripada dunia media sosial pada suatu masa kelak.

Melalui pemerhatianku di dalam video yang dihasilkannya juga, NgekTsai adakalanya memberi gambaran tertentu berkaitan dirinya. Info ini adakalanya diselitkan dalam watak-watak tambahan dalam videonya. Namun begitu, kesudahan bagi setiap video yang dihasilkan oleh NgekTsai masih sukar diramal penamatnya. Inilah antara kekuatan NgekTsai yang menjadikan videonya sering dinanti.



 SHARE VIA SOCIAL NETWORKS

 




Video-video yang dihasilkan oleh NgekTsai mempunyai unsur lucu, informasi dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan sehari-hari. 

Unsur lucu ini dapat menghilangkan tekanan kepada para pelayar video. Elemen informasi pula berfungsi menyalurkan maklumat yang berguna untuk diaplikasi dalam kehidupan. NgekTsai juga sentiasa berusaha mendidik para pelayar videonya ke arah kebaikan sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui tontonan videonya. Inilah kekuatan video NgekTsai Army yang tidak perlu dipertikai kesahihannya.

Ngek Tsai juga jujur dalam setiap video yang dihasilkannya. Ekspresi yang terzahir dalam video adalah natural. Ngek Tsai tidak hipokrit dengan berpura-pura gembira hanya untuk membuat orang lain ketawa. Apabila ada babak sedih para pelayar video juga terkesan dengan ekspresi rasa tersebut. Bukan mudah untuk menyentuh hati penonton sekiranya sesebuah video itu dihasilkan secara sambil lewa. Ngek Tsai amat mementingkan kualiti berbanding kuantiti.

Video bertajuk "Pesanan Frontliners" tentang perasaan NgekTsai sewaktu terlibat sebagai petugas Barisan Hadapan adalah antara video yang menyentuh perasaan . Air mata yang gugur bersama harapan agar rakyat Malaysia mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan begitu berbekas dihati. Video hebat penuh informasi bagi yang melihat dengan mata hati dan fikiran yang terbuka.

Sebagai seorang influencer yang bertanggungjawab terhadap audien pelayar videonya, NgekTsai akan meletakkan amaran had umur bagi tontonan video-video tertentu. Ia penting agar isi kandungan video tersebut sesuai untuk dilayari oleh para pelayar video yang layak menontonnya.

Kebolehan menari, bermain alat muzik dan menguasai seni mempertahankan diri memberi nilai tambah seterusnya menjadi pelengkap kepada kelebihan diri. NgekTsai juga memberi motivasi kepada NgekTsai Army ( pengikut beliau ) bahawa setiap individu mampu melakukan yang terbaik dalam kehidupan masing-masing .

" Seni itu indah "
" Indah itu ilham "
"Ilham penggubah suasana"

Terima kasih NgekTsai kerana menyediakan alternatif kepada para pelayar media sosial untuk membuat pilihan video yang terbaik seterusnya klik dengan bijak.

Selamat maju jaya Ngek Tsai Army. Semoga terus menghasilkan video yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat di luar sana. Teruskan perjuangan menggunakan dialek Melayu Sarawak sebagai medium komunikasi di dalam video yang dihasilkan pada masa kini dan masa akan datang.

Saya berdoa semoga Allah SWT memberikan idea yang kreatif dan kritis kepada NgekTsai ketika membuat video untuk tontonan mata dan santapan halwa telinga para pelayar video NgekTsai Army sekalian.

Semoga terus diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT untuk menghasilkan video yang berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat dalam waktu yang sama.

Terima kasih dialek Melayu Sarawak yang mewarnai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ( PKPB ) terindah yang kujalani. Terima kasih Ngek Tsai untuk setiap perkara positif yang kuperolehi daripada tontonan video yang hebat. Terima kasih juga untuk semua pengajaran yang kukutip melaluinya. Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia lainnya.


Selamat terbang tinggi NgekTsai. Selamat berjuang untuk semua yang disayangi. 

AZARIAH BINTI AHMAD
Kuala Kubu Bharu
Hulu Selangor
Selangor Darul Ehsan



 SHARE VIA SOCIAL NETWORKS


.